PENULISAN DAN PENYEBARAN KARYA-KARYA TERKENAL ILMU NAHW SEHINGGA KEMUNCULANNYA DI ALAM MELAYU: SUATU PENELITIAN KHUSUS TERHADAP AL-CAWAMIL AL-MI’AH

Authors

  • Amer Hudhaifah Hamzah
  • Ahmad Arifin Sapar

Abstract

Ilmu bahasa Arab, khususnya Nahw, dianggap sangat penting oleh orang Melayu, sehingga pada abad ke 19 sudah ada sebilangan ulama Melayu yang menguasai ilmu Nahw dan menghasilkan karya-karya terkenal. Tetapi sehingga hari ini latar belakang penyebaran dan pengajian ilmu Nahw di Alam Melayu masih sangat kabur. Antara punca kegagalan penyelidik mengkaji aspek penting ini adalah kerana kekurangan sumber dan ketidakjelasan metode yang boleh digunakan. Justeru, kajian ini telah berusaha ke arah meneliti sebahagian sejarah ilmu Nahw di Alam Melayu, terutamanya berkaitan karya al-cAwamil al-Mi’ah yang banyak tersebar manuskripnya di seluruh Nusantara. Penelitian mengkhususkan aspek penyebaran karya al-cAwamil di Timur Tengah dan dari itu menduga bilakah ia tiba di Alam Melayu. Bagi mencapai hasrat ini, pengkaji telah membina data Shurrah sebagai salah satu cara yang logik untuk mengesan penyebaran karya atau ideologi. Ia merupakan suatu metode yang dikembangkan dari amalan-amalan pengkaji dan filologi Arab semenjak kira-kira setengah abad yang lalu. Menerusi data Shurrah dan kajian Pensejarahan, pengkaji mendapati bahawa karya al-cAwamil al-Mi’ah telah tersebar di tiga wilayah utama di dunia, iaitu: Wilayah Timur (Zon 1) yang mencangkupi Iran dan kawasan-kawasan sekitarnya seperti Afghanistan, Pakistan dan Azerbaijan. Wilayah Barat (Zon 2) yang merupakan keseluruhan negara Turki termasuk Greece dan Bosnia Herzegovina. Wilayah Selatan (Zon 3) iaitu Syria, Mesir, Arab Saudi dan Yaman. Berdasarkan trend penyebaran ini serta lonjakan penggunaan karya al-cAwamil di Arab Saudi bermula abad ke 11H/17M, diduga bahawa karya al-cAwamil mendapat permintaan tinggi dari pelajar-pelajar Melayu yang baru tiba ke tanah Arab pada waktu tesebut. Ini bermakna pengaruh karya al-cAwamil dibawa pulang oleh para pelajar ini untuk menjadi salah satu sukatan pengajian ilmu Nahw di Alam Melayu bermula abad ke 11H/17M.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2020-01-17

Issue

Section

Articles